PM ucap tahniah kepada pasukan tenis remaja negara

Kejayaan pasukan remaja perempuan negara pada Kejohanan Pra Kelayakan Tenis Berpasukan Remaja Dunia Asia/Oceania 2023 di Colombo, Sri Lanka mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar mengucap syabas kepada tiga pemain dalam kategori berkenaan iaitu Daniaa Daniela Abd Hazli, Lynn Lim dan Adani Raihan Muhammad Azhari atas kejayaan mereka di pentas antarabangsa. “Tiga ‘puteri’ Malaysia tawan pentas antarabangsa!. Tahniah kepada Daniaa Daniela Abd Hazil, Lynn Lim dan Raihan Muhammad Azhari kerana menjuarai 2023 World Junior Tennis Asia/Oceania di Colombo, Sri Lanka. “Moga kejayaan mendorong lebih ramai bakat muda mengharumkan nama negara di pentas dunia!,” tulis hantaran berkenaan pada akaun Facebook milik Anwar, hari ini. Pada aksi playoff 1 hingga 4 Sabtu lalu, ketiga-tiga pemain ini menewaskan pasukan Singapura dengan keputusan 3-0. Adani yang beraksi dalam acara perseorangan menewaskan Sophie Ashley Chua 3-6, 6-2, 6-1 manakala rakannya, Daania menumpaskan Victoria Alekseykina 4-6, 7-5, 6-4. Dalam acara beregu, Lynn yang bergandingan bersama Adani menewaskan Sophie-Joy-Shania dengan keputusan 6-4, 3-6 ,10-7. Bagi saingan lelaki pula, pasukan Malaysia menamatkan cabaran di tempat keenam manakala Singapura muncul juara dan Kyrgyzstan berada di tangga kedua. Tempat ketiga menjadi milik Turkmenistan.

Courtesy from – Berita Harian

https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2023/02/1066754/pm-ucap-tahniah-kepada-pasukan-tenis-remaja-negara