Harimau Muda layak ke Piala Asia B-23

Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara akhirnya mengesahkan tempat ke Piala Asia B-23 di Qatar, tahun depan selepas muncul naib juara kumpulan keempat terbaik. Harimau Muda menjadi pasukan terakhir layak selaku naib juara terbaik bersama Kuwait, Tajikistan dan China. Harimau Muda bagaimanapun terpaksa menunggu keputusan semua perlawanan kumpulan selepas gagal mara secara automatik selepas ditundukkan Thailand 0-1 dalam aksi terakhir Kumpulan H, malam tadi. Ia adalah penampilan ketiga skuad negara di Piala Asia B-23 selepas melakukannya pada tahun 2018 dan 2022. Terdahulu anak buah E Elavarasan memilih jalan sukar selepas tewas 0-1 kepada Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan H. Kekalahan itu menyaksikan skuad negara sekadar menamatkan kedudukan di tangga kedua kumpulan, sekali gus menobatkan Thailand selaku juara kumpulan dan layak secara automatik ke pusingan akhir tahun depan.

Courtesy from – Berita Harian

https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2023/09/1152130/harimau-muda-layak-ke-piala-asia-b-23?_ga=2.99113496.785000650.1694674398-872535053.1694674397