Natasha Roslan patut diberikan ganjaran biarpun Kejohanan Piala Dunia tidak termasuk dalam senarai SHAKAM

Bintang boling negara, Natasha Mohamed Roslan sekali lagi mengharumkan nama negara apabila muncul sebagai juara Kejohanan Piala Dunia Boling 2025 yang berlangsung di Kowloon, Hong Kong baru-baru ini.  Kejayaan ini menjadikan beliau atlet boling wanita pertama Malaysia yang merangkul kejuaraan berprestij tersebut, satu pencapaian luar biasa dalam arena sukan negara.

 

Ini bukan kali pertama Natasha mencipta kejayaan besar di peringkat dunia kerana sebelum ini, beliau telah dinobatkan sebagai juara dunia di Salmiya, Kuwait, menjadikannya pemain boling Malaysia pertama tanpa mengira jantina yang memenangi gelaran berganda Kejohanan Dunia dan Piala Dunia.  Pencapaian ini jelas menunjukkan konsistensi dan ketekunan Natasha dalam mengangkat martabat sukan boling Malaysia di persada antarabangsa. Walaupun Kejohanan Piala Dunia tidak termasuk dalam senarai Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam), kejayaan Natasha sepatutnya tidak dipandang ringan. 

 

Beliau layak menerima ganjaran atau insentif sebagai pengiktirafan atas usaha dan kejayaan mengharumkan nama Malaysia. Kerajaan dan pihak bertanggungjawab perlu lebih cakna terhadap atlet seperti Natasha yang terus mencipta kejayaan dalam sukan kurang popular tetapi konsisten membawa pulang pingat dan gelaran.  Sokongan berbentuk ganjaran bukan sahaja dapat memberikan penghargaan kepada atlet tetapi juga menjadi motivasi kepada mereka untuk terus mencipta kejayaan di masa hadapan. Jika puluhan juta boleh diberikan kepada sukan bola sepak yang sering gagal membawa pulang kejayaan di peringkat antarabangsa, mengapa tidak memperuntukkan dana kepada sukan seperti boling yang konsisten memberikan impak positif kepada nama negara?

 

Tidak hanya Natasha sahaja, sebaliknya mana-mana atlet yang berjaya bawa pulang pingat atau kejayaan buat negara harus diberikan ganjaran.