Yayasan Kecermelangan Sukan Malaysia

Anson, Mirabel juara Golf Elit Perdana Remaja

Mirabel Ting Ern Hui (dua dari kiri), Ng Jing Xuen (dua kanan) dan Pang Hee Jie (kiri) meraikan kemenangan di Kelab Rahman Putra

Malaysia sememangnya memiliki pemain golf remaja yang berbakat dan ia terbukti menerusi prestasi yang ditunjukkan ketika Grand Final Sirkit Golf Elit Perdana Remaja Malaysia SportExcel NSC-MILO di Kelab Golf Rahman Putra baru-baru ini. Paling mencuri tumpuan, dua bintang muda dari Sarawak yang berada di kelas tersendiri bagi mengungguli kategori masing-masing. Anson Yeo Boon Xiang, 15, dari Samarahan mengungguli saingan kategori lelaki A apabila merakamkan catatan 67, 75, 71 sepanjang tiga hari kejohanan berlangsung untuk keseluruhan 213. Dengan kelebihan tujuh pukulan, dia mengatasi pemain dari Melaka, Nateeshvaar Anatha Ganesh yang mencatat keseluruhan 220 manakala Poon Jia Hao dari Kuala Lumpur ketiga dengan catatan 222. Walaupun mengakhiri saingan di tempat kedua namun Nateeshvaar masih boleh mendabik dada apabila berjaya melakukan dua eagle dalam empat pusingan kejohanan dengan satu daripadanya di lakukan di Kelab Golf Danau dan satu di Rahman Putra. Sementara itu, dalam kategori perempuan A, Mirabel Ting Ern Hui dari Sarawak muncul juara dengan kelebihan 11 pukulan apabila merekodkan keseluruhan 215 mengatasi Ng Jing Xuen dari Kuala lumpur GA (226) dan Pang Hee Jie dari Johor (239). Kaathiyani Gunasega turut mencuri tumpuan sepanjang empat pusingan kejohanan apabila melakukan hole-in-one atau selubang di Kelab Golf Danau. Pengarah Eksekutif SportExcel, C Sivanandan berkata saingan Grand Final adalah kemuncak kepada empat pusingan kejohanan yang diadakan sebelum itu iaitu dua di Kelab Golf Danau dan dua di Rahman Putra. “Sirkit ini adalah medan mencari pemain remaja yang kemudiannya mendapat peluang ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian dan menjalani latihan di Amerika Syarikat termasuk Eropah dan Australia. “SportExcel yakin pemain remaja ini suatu hari nanti akan mewakili negara beraksi dalam saingan PGA dan LPGA. Matlamat kami adalah untuk membentuk mereka meraih kecemerlangan di peringkat tertinggi,” katanya.

Courtesy from – Berita Harian

https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2021/12/902181/anson-mirabel-juara-golf-elit-perdana-remaja