SUKMA 2024: Kerajaan Sarawak Lancar Aplikasi ‘SUKMA XXI’
Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak hari ini melancarkan aplikasi ‘SUKMA XXI’ untuk memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat dan berita mengenai Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 secara masa nyata. Menteri berkenaan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata aplikasi itu dilengkapi menu antaranya jadual serta keputusan pertandingan, kedudukan dan pungutan pingat terkini mengikut kontinjen masing-masing. “Selain itu, pengguna juga boleh mendapatkan berita terkini dan menonton video atau penstriman langsung menerusi pautan TVS. “Pembangunan aplikasi ini juga sebagai menyahut seruan Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) untuk memperkasakan perkhidmatan kita melalui digital ekonomi,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Aplikasi ‘SUKMA XXI’ di sini hari ini.
Selain itu, Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata aplikasi berkenaan turut dilengkapi maklumat lokasi pelancongan yang boleh diterokai di kesemua bahagian Sarawak bagi penganjuran SUKMA 2024. Pengguna boleh memuat turun aplikasi berkenaan di Apple store, Google Play Store dan Huawei App Gallery menggunakan platform iOS, Android dan Huawei, tambah beliau.
Abdul Karim berkata pihaknya akan turut memastikan sistem aplikasi komprehensif itu berjalan lancar dan pengguna tidak mengalami sebarang gangguan. Dalam pada itu, Abdul Karim turut melancarkan Pengaktifan Command Centre (Bilik Gerakan) SUKMA 2024 yang beroperasi sehingga penganjuran Para SUKMA 2024 pada September. “Ia beroperasi bermula hari ini sehingga 28 Sept bagi membantu Sekretariat SUKMA memantau perjalanan SUKMA dan Para SUKMA selain memantau isu yang berlaku di 50 venue pertandingan di sembilan bahagian Sarawak sepanjang tempoh temasya berlangsung.
“Pada masa sama, ia juga dapat memantau melalui Sistem Pengurusan Pertandingan segala maklumat logistik termasuk pengagihan penginapan, pengangkutan, sajian dan sukarelawan serta petugas,” katanya. SUKMA 2024 menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri. SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.
Courtesy from – Bernama
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2327277